Saturday, August 30, 2008

Solat Terawih/Witir

SEMBAHYANG TARAWIH
1. Hukum Sembahyang Tarawih:
a) Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
b) Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.

2. Waktu Sembahyang Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’.

3. Rakaat Sembahyang Tarawih:
a) Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
b) Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.
c) Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
d) Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
Bermaksud: "Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat ma’mum kerana Allah Taala"

5. Rukun Sembahyang Tarawih
Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain juga.

SEMBAHYANG WITR
1. Sembahyang Sunat Witr
a) Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang Witr selepas sunat Tarawih ini sebanyak 3 rakaat sahaja. Sunat Witr ini ditunaikan secara berjamaah.
b) Salam selepas dua rakaat yang pertama.
c) Lafaz niat sembahyang sunat Witr

i- bagi dua rakaat yang pertama:
Bermaksud: "Sahaja aku sembahyang Witr dua rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala".

ii- bagi rakaat yang akhir:
Bermaksud: "Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala".

d) Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca [doa] Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut semmbahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi.

No comments: